WELCOME TO MY BLOG

Sunday 13 April 2014

Kecekapan penggunaan elektrik di sekeliling kita



  Elektrik merupakan sumber tenaga utama yang digunakan di rumah.Anda seharusnya terus menikmati manfaat daripada peralatanelektrik dengan tidak menggunakan lebih banyak tenaga daripada yang sepatutnya. Penggunaan tenaga elektrik secara cekap dapatmenjimatkan wang serta dapat membantu memelihara alam sekitar. Adakah anda inginkan bil elektrik yang rendah dan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar? Anda akan dapat mengurangkan sehingga 10% penggunaan elektrik tanpa menjejaskan tahap keselesaan hidup anda.
  Kecekapan tenaga (elektrik) bermakna anda menggunakan tenaga elektrik yang minima untuk menyempurnakan kerja yang sama di rumah atau di tempat kerja. Ini juga bermakna anda akan dapat
mengurangkan perbelanjaan untuk penggunaan elektrik di samping menikmati kemudahan yang sama!
 
Mengapakah anda perlu menggunakan elektrik dengan cekap?
a) Untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil (gas dan
arang batu) yang:
• bekalannya semakin susut
• kos yang semakin tinggi
• menghasilkan gas-gas berbahaya yang boleh membawa kesan
buruk kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,
b) Untuk memelihara alam sekitar yang merupakan satu-satunya
warisan kita untuk generasi akan datang
c) Untuk mengurangkan perbelanjaan isirumah.

  Bil elektrik bulanan kebiasaannya akan bertambah mengikut
peredaran masa disebabkan oleh penggunaan yang meningkat.
Peningkatan penggunaan elektrik boleh disebabkan oleh :
• penambahan bilangan peralatan elektrik yang baru;
• bertambahnya tempoh penggunaan peralatan elektrik;
• penggunaan peralatan elektrik tambahan seperti lampu
hiasan dan lain-lain semasa musim perayaan;
• penggantian peralatan elektrik lama berkuasa kecil dengan
peralatan elektrik baru berkuasa besar selaras dengan
keluarga yang membesar; dan
• peralatan elektrik yang kurang cekap contohnya peti sejuk
yang mengalami kerosakan pada termostatnya, kekurangan
gas penyejuk atau kerosakan pada getah perekat pintunya
yang akan menyebabkan peti sejuk terpaksa beroperasi untuk
jangka masa yang lama dan membazirkan elektrik.

  Cara Mengurangkan Bil Elektrik
Pelbagai cara boleh anda lakukan bagi meningkatkan kecekapan
penggunaan elektrik di rumah kerana penggunaan berhemah dan
cekap akan menjimatkan tenaga, wang dan membantu memelihara
alam sekitar. Salah satu cara utama ialah dengan menganalisa
penggunaan elektrik dan mengenal pasti peralatan elektrik yang
boleh dikawal atau digunakan dengan cekap. Anda boleh lakukan
sendiri audit tenaga di rumah anda.

  Prestasi Tenaga Peralatan Elektrik
Prestasi tenaga sesuatu peralatan elektrik boleh ditentukan daripada
plat nama. Sebagai contoh penyaman udara mempunyai
Pemeringkatan Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency Rating-EER).
EER adalah kecekapan penukaran tenaga bagi sesuatu peralatan
elektrik; semakin besar nilai EER semakin cekap peralatan tersebut.
Nilai EER bagi sebuah penyaman udara menandakan nisbah
keupayaan penyejukan terhadap sumber kuasa.
Apabila anda ingin membeli peralatan elektrik, saiz yang bersesuaian
adalah penting. Semakin besar saiz peralatan tersebut semakin
banyak tenaga yang digunakannya.

Contoh
Apabila hendak membeli sebuah penyaman udara sebaiknya nisbah
kecekapan tenaganya iaitu EER dikenalpasti terlebih dahulu. EER bagi
penyaman udara berkuasa kuda 1 hp adalah bernilai 8. Jumlah
tenaga elektrik yang dihasilkan penyaman udara biasanya dinyatakan
dalam sebutan BTU (British Thermal Unit) /jam. Lebih tinggi BTU,
maka semakin cekap kadar penggunaan tenaganya.

  TIP PENJIMATAN TENAGA

RUANG DAPUR
Anda sedia maklum bahawa sebahagian besar tenaga elektrik iaitu
hampir 40% digunakan di ruang dapur. Tahukah anda di rumah kos
sederhana, anda boleh menjimatkan sehingga 10 % atau RM78 setiap
tahun dengan menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga di
dapur.

PETI SEJUK DAN PENYEJUK BEKU
Ia adalah peralatan elektrik yang paling mahal kos pembiayaannya di
rumah kerana digunakan sepanjang hari. Oleh itu potensi penjimatan
tenaga bagi peti sejuk adalah tinggi.
Kos penggunaan yang rendah bagi peti sejuk dan penyejuk beku
baru yang cekap tenaga biasanya boleh menampung kos
penggantian peralatan lama yang tidak cekap tenaga.
A. Panduan Membeli
Peti Sejuk
• Pilih saiz peti sejuk yang menepati keperluan keluarga. Peti
sejuk 550W akan menggunakan tenaga elektrik yang bernilai
RM22.50 sebulan. Elakkan daripada membeli peralatan yang
bersaiz terlalu besar.
• Jangan lupa untuk mengenal pasti Energy Efficiency Ratio (EER)
bagi peti sejuk. Data pada plat nama akan memberikan
maklumat tentang penggunaan kuasa bagi peti sejuk.

Penyejuk Beku
Penyejuk beku jenis tegak menggunakan lebih banyak tenaga
berbanding peti penyejuk jenis peti. Purata kos elektrik penggunaan
penyejuk beku jenis peti dan jenis tegak ialah masing-masing RM10
dan RM14 sebulan.
B. Panduan Pemasangan
Peti sejuk dan penyejuk beku akan membebaskan haba ketika operasi
penyejukan muatannya. Haba ini perlu dinyahkan kerana jika tidak,
kompresor bagi peti sejuk dan penyejuk beku ini akan beroperasi
lebih lama. Ini menyebabkan ia menjadi terlebih panas dan akan
memendekkan jangka hayatnya. la juga akan menggunakan lebih
banyak elektrik dan akan lebih cepat rosak. Perkara yang perlu
diambil kira untuk pemasangan peti sejuk dan penyejuk beku:
• peti sejuk tidak seharusnya diletakkan di tempat yang panas
seperti di tempat yang terdedah kepada pancaran terus
matahari atau berhampiran dengan dapur memasak
• ruang disediakan di sekeliling peti sejuk termasuk di bahagian
atas, belakang dan tepi bagi membolehkan pengaliran udara
C. Panduan Operasi Dan Penyelenggaraan
Peti Sejuk
• Apabila hendak meninggalkan rumah untuk jangka masa yang
panjang kosongkan dan cuci peti ais. Tutupkan suis dan biarkan
pintunya terbuka.
• Pastikan gelung kondenser sentiasa bersih. Habuk dan kotoran
pada gelung kondenser akan mengurangkan kecekapan peti sejuk
• Susun makanan di dalam peti sejuk supaya ada ruang di
sekelilingnya bagi membolehkan pengaliran bebas udara.
Sentiasa sejukkan makanan sebelum dimasukkan ke dalam peti
sejuk.
• Elakkan daripada kerap membuka ataupun sengaja
membiarkan pintu peti sejuk terbuka.
Penyejuk Beku
Penyejuk beku seeloknya sentiasa penuh bagi mengelakkan
pembentukan ais. Untuk memastikan penyejuk beku digunakan
dengan cekap:
• Gunakan pembalut dan bekas kedap udara dan wap apabila
menyimpan makanan yang ingin disejuk beku bagi
mengelakkan makanan menjadi kering.
• Sebelum membuka penyejuk beku kenal pasti barangan yang
diinginkan. Membuka pintu berulang kali akan membazirkan
tenaga.
• Nyah fros penyejuk beku apabila terdapat fros setebal 6 mm
(1/4 inci).

Tip Menjimat Tenaga 
Suhu yang diselaraskan pada -18ºC akan menjimatkan penggunaan
tenaga elektrik sebanyak 60kWj setiap tahun iaitu bersamaan RM 13

Panduan Operasi dan Penyelenggaraan lampu

Bilik Tidur
• Gunakan lampu malap daripada siling dengan pemalap untuk
pencahayaan umum.
• Gunakan lampu sisi katil untuk membaca.
• Gunakan cahaya dari luar. Letakkan meja berhampiran dengan
tingkap.

Ruang Tamu
• Gunakan lampu bercahaya malap bagi memalapkan suasana.
• Pastikan tiada pantulan cahaya di kaca televisyen bagi
keselesaan menonton.
• Tutupkan suis lampu jika ia tidak digunakan.
Dapur
• Pastikan kesemua ruang kerja mempunyai pencahayaan yang
mencukupi.
• Pasang lampu di atas ruang kerja.
• Pasang lampu di pintu bilik pantri.

Bilik air dan setor 
• Pasang lampu di atas cermin.
• Pasang lampu siling bagi bilik air yang besar.
• Pasang lampu berkuasa rendah bagi laluan dan setor.

  Kesimpulannya,penggunaan tenaga elektrik pada masa kini menentukan masa hadapan kerana keadaan bumi semakin uzur dan kebanyakkan sumber semula jadi semakin sedikit dan tidak mustahil jika kita tidak cekap menggunakan elektrik, ianya akan habis.Oleh itu, marilah sama-sama kita menjimatkan elektrik.

1 comment: